Tuesday, 16 August 2011

:: Dayana Amerda Hiburkan Anak Yatim ::

BIARPUN usianya masih lagi mentah, juara Idola Kecil 2, Dayana Amerda menunjukkan rasa prihatinnya apabila meluangkan masa dengan menghiburkan mereka yang kurang bernasib baik.


Walaupun baru berusia 12 tahun, Dayana atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana Mohd. Amerullah, mampu membuatkan anak-anak yatim dari Mahat Tahfiz al-Quran & Rumah Anak-Anak Yatim Al-Sagaff, Selayang, Selangor terhibur dengan persembahannya.


Mendendangkan lagu dari album sulungnya yang dilancarkan pada Jun lalu, Dayana kelihatan seperti penyanyi profesional.


Bagaimanapun, jelas Dayana, dia sebenarnya terharu apabila diberi peluang untuk bersama meraikan anak-anak yatim berkenaan.


Baginya, dalam menyambut dan meraikan kehadiran Ramadan yang penuh berkat ini, masyarakat tidak seharusnya melupakan mereka yang kurang berkemampuan.


“Saya gembira kerana diberi peluang ini untuk saya bersama-sama meraikan rakan-rakan yang kurang bernasib baik.


“Lagipun adalah lebih bermakna apabila kita dapat menyambut kehadiran Ramadan ini bersama dengan saudara seagama sendiri.


“Selain itu, saya juga rasa ini adalah cara terbaik untuk mendekati mereka agar mereka juga dapat menyambut Ramadan sama seperti kita,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Hotel The Saujana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Tambah anak sulung dari tiga beradik itu lagi, dia teruja apabila diberi peluang untuk bersama menjamu selera menikmati juadah berbuka puasa bersama dengan anak-anak yatim berkenaan.


“Bukan selalu dapat bersama dengan mereka dan saya bertuah kerana diberi peluang ini. Saya harap selepas ini mereka akan diundang lagi,” jelasnya.


Pengurus Keselamatan hotel berkenaan, Hamidun Ismail berkata, aktiviti meraikan anak-anak yatim itu telah menjadi acara tahunan Hotel The Saujana dalam menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial.


Tambahnya, setiap tahun di bulan Ramadan, pihaknya akan membawa anak-anak yang kurang bernasib baik untuk bersama menyambut bulan yang penuh berkat itu.


“Rutin ini sememangnya telah menjadi aktiviti tahunan kami di mana kami akan mencari rumah-rumah anak yatim yang memenuhi kriteria yang telah ditentukan.


“Oleh itu, apabila berjumpa rumah kebajikan yang menepati apa yang kami gariskan, mereka akan kami bawa untuk bersama menikmati juadah berbuka di hotel.


“Selain daripada itu, kami juga akan menghulurkan bantuan mengikut keperluan mereka agar dapat meringankan kesusahan yang mereka tanggung,” katanya.


Tambah Hamidun, majlis itu sepatutnya turut dihadiri oleh penyanyi popular tanah air, Fauziah Latiff atau Jee.


“Mengikut perancangan awal, Jee dan Dayana akan berkongsi pentas untuk menghiburkan anak-anak yatim ini.


“Bagaimanapun, di saat akhir, Jee tidak dapat hadir kerana kurang sihat. Walau apa pun kami bersyukur kerana apa yang kami rancang tetap berjalan dengan baik dan anak-anak ini dapat diraikan,” ujarnya.




Terima kasih sebab sudi baca !! ツ

0 000 »» Budak Chomell: